Monday, April 6, 2015

Transformasi pendidikan Frog VLE

Guru dan pelajar mengikuti kelas masa depan Frog sempena Persidangan Leaps of Knowledge 2014 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
AZMY MOHAMED | 22 Disember 2014 12:51 AM


Syarikat teknologi pendidikan, FrogAsia Sdn. Bhd., berhasrat untuk mentransformasikan bidang pendidikan melalui teknologi agar proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) menjadi lebih menarik, memberi inspirasi dan berkesan.

Pengarah Eksekutif syarikat itu, Lou Yeoh berkata, pihaknya tidak sekadar melaksanakan teknologi, tetapi juga menyediakan penyelesaian yang memberi tumpuan kepada penggunaan Internet untuk mentransformasikan pendidikan dengan kaedah yang bermakna.

“Transformasi ini dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan antaranya persidangan, pertandingan, program berkembar, latihan, khidmat sokongan dan penyediaan sumber dalam talian,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

FrogAsia, anak syarikat YTL, adalah syarikat pertama di dunia yang menghubungkan 10,000 buah sekolah di seluruh negara dalam satu platform pembelajaran tunggal yang berasaskan teknologi awan, yang membentuk komuniti pembelajaran terdiri daripada pelajar, guru dan ibu bapa.

Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) ini ringkas, menyeronokkan dan menarik – yang menjadi antara sebab mengapa sekolah-sekolah di seluruh dunia menjadikan Frog sebagai platform pilihan mereka.

Menurut Lou, guru selaku penggerak utama perubahan perlu sentiasa dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan baharu yang bermanfaat melalui kursus atau latih­an dalam perkhidmatan.

“FrogAsia dengan kerjasama Google memberi kursus untuk pembangunan profesional guru secara dalam talian (online) dan juga bersemuka.

“Bukan itu sahaja, guru juga digalakkan untuk mencipta dan berkongsi sumber, bahan atau kepakaran secara dalam talian menggunakan kemudahan teknologi yang disediakan,” tambahnya.

Dalam konteks ini, kata Lou, pihaknya turut melaksanakan Frog Connected Classroom menggunakan aplikasi Google Hangouts yang membolehkan pelajar dari sekolah berbeza mengikuti ceramah berkaitan kerjaya, kesihatan atau teknik menjawab soalan.

“Impaknya amat positif iaitu dapat mengikis sikap malu pelajar untuk bertanya kerana melalui persidangan video ini mereka boleh terus mengajukan soalan sama ada dengan menaip atau secara lisan tanpa perlu angkat tangan,” ujar­nya.

Selain itu, FrogAsia juga menyediakan kemudahan khidmat soko­ngan dalam bentuk video yang boleh diakses menggunakan Internet.

Ketika ini, FrogAsia sedang memperkaya sumber dalam taliannya yang merangkumi buku teks digital, audio dan rancangan me­ngajar.

“Ekosistem pendidikan turut melibatkan ibu bapa selain pelajar dan guru, justeru kami juga menawarkan bahan ulang kaji pembelajaran tambahan,” katanya.